Monday, April 15, 2013

Diam lebih baik?



Daripada Anas r.a. berkata Rasulullah s.a.w. bersabda :

"Sifat diam itu adalah hikmat dan sangat sedikit yang mampu melakukannya."

Rasulullah s.a.w. menerangkan bahawa siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat maka hendaklah dia bercakap tentang perkara baik atau diam. Justeru Imam Syafi'e menyatakan maksud hadith ini adalah apabila seseorang hendak bercakap sesuatu hendaklah dia berfikir dahulu. Jika tidak terjadi apa-apa yang buruk maka bolehlah bercakap tetapi apabila sebaliknya hendaklah dia diam.

Abu Qassim Al-Qusyairi ada mengatakan bahawa diam yang tepat pada masanya adalah sangat mulia kerana Rasulullah s.a.w. mengajar kepada umatnya untuk bercakap tentanng perkara yang baik, jika tidak, seeloknya dia diam.

"Sesungguhnya engkau sentiasa sejahtera selama engkau diam. Tetapi apabila engkau berkata-kata, ditulis bagi engkau (yang baik atau yang jahat)."

Hadith ini diriwayatkan oleh Mu'az bin Jabal.

Ada peribahasa arab mengatakan agar berhati-hati dalam menggunakan lidah :

"Lidah seperti seekor anjing gila yang bila tidak diawasi dia akan menerkam."

Sayidina Ali r.a. ada menyatakan bahaya jika tidak menjaga kata-kata dalam sajaknya :

"Kerana tergelincir, meninggalnya pemuda,
Tergelincir kaki tidak mengapa,
Kerana lidah hilanglah kepala,
Luka di kaki sembuh seketika."

Namun adakalanya kita tidak boleh diam sepanjang masa, perlu untuk kita tahu bila masanya untuk kita berbicara dan bila masanya untuk kita diam.

Dalam kitab karangan Ahmad Safuan Al-Karami ada menyebut beberapa jenis diam :

  • Diam yang bodoh : Diam kerana tidak tahu apa yang perlu dikatakan kerana kurang ilmu pengetahuan dan kurang pemahaman. Namun diam ini lebih baik daripada memaksa diri bercakap sedangkan tidak tahu apa-apa.
  • Diam yang malas : Suaru keburukan apabila kita diam ketika orang memerlukan kita untuk bercakap. Kita diam kerana malas melayan atau tidak berminat.
  • Diam sombong : Satu lagi jenis diam yang negatif. Diam kerana orang yang mengajak bercakap itu dilabelkan tidak setaraf dengannya.
  • Diam khianat : Diam bertujuan menzalimi orang lain.
  • Diam marah : Diam yang ada baik dan buruknnya. Baiknya adalah dengan niat untuk menjauhi perbalahan dan buruknya adalah apabila menyimpan dendam.

  • Diam utama : Diam tetapi berfikir, merenung, dengan niat yang baik.
Selain daripada diam, kita boleh memilih untuk bercakap perkara yang baik dan berkongsi kegembiraan dengan orang lain.

Firman Allah dalam Surah A-Baqarah, ayat 83 :

"Dan ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia."

Al-Sobuni berkata perkataan yang baik adalah dengan ucapan yang merendahkan suara, bahasa yang lembut dan enak didengar.

Sebaik-baiknya adalah kita untuk berdiam diri kena pada tempatnya. Jika percakapan kita boleh membawa kepada keburukan, berpecah belah, saling membenci, adalah lebih baik untuk kita diam. Namun jika percakapan kita boleh membawa perubahan ke arah yang lebih baik sama ada untuk diri kita atau pun orang lain, adalah lebih baik kita bercakap.

Renung-renungkan..

No comments:

Post a Comment