Wednesday, April 10, 2013

Kemanisan dalam persaudaraan.

Secara umumnya kita sedia maklum bahawa setiap muslimin itu adalah bersaudara, bukan atas faktor darah keturunan, tetapi atas faktor agama.

Persaudaraan yang berlandaskan paksi yang betul akan membawa kemanisan dalam aspek kehidupan dan membawa kepada keredhaan Allah SWT.

Tetapi kita juga harus menjaga hak-hak dalam persaudaraan agar tidak berlaku perselisihan pendapat.

Terdapat beberapa dalil berkenaan hubungan persaudaraan.

  • Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda : "Seorang mukmin adalah cermin kepada mukmin yang lain. Dan seorang mukmin adalah saudara kepada mukmin yang lain."

Hadith Riwayat Abu Daud dan Al-Bukhari.

Hadith ini menerangkan bahawa sesungguhnya setiap orang yang beriman itu adalah bersaudara dan secara tidak langsung menjadi cermin kepada satu sama lain. Ini bermakna amanah sebagai saudara adalah saling ingat memperingati antara satu sama lain ke arah kebaikan.

  • Daripada Abu Musa Al-Asy'ari r.a., Nabi s.a.w. bersabda : "Sesungguhnya seorang mukmin kepada mukmin yang lain seperti satu binaan, sebahagiannya menyokong sebahagian yang lain."

Hadith Riwayat Al-Bukhari dan Muslim.

Di sini pula, hadith ini menerangkan betapa pentingnya menjaga hubungan persaudaraan dan saling bantu membantu antara satu sama lain.

  • Daripada Abdullah bin Umar r.a., Nabi s.a.w. : "Seorang muslim adalah saudara kepada muslim yang lain; ia tidak menzaliminya dan tidak menghinanya."

Hadith Riwayat Al-Bukhari dan Muslim.

Dalam hadith ini Nabi s.a.w menyatakan bahawa setiap umat Islam adalah bersaudara dan kita dilarang untuk menzalimi, menganiaya dan menghina sesama saudara Islam.

  • Daripada Anas r.a., Nabi s.a.w. bersabda : "Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehinggalah ia mengasihi saudaranya seperti ia mengasihi dirinya sendiri."

Hadith Riwayat Al-Bukhari dan Muslim.

Di sini pula, kita dituntut agar mengasihi sesama saudara dan menjaga silaturrahim sesama kita.
  • Daripada Miqdam bin Ma'di Kariba r.a., Nabi s.a.w. bersabda : "Apabila seseorang insan mengasihi saudaranya, beritahulah kepadanya bahawa ia mengasihinya."

Hadith Riwayat Abu Daud dan Al-Tirmizi.

Apabila kita mengasihi saudara yang lain, adalah digalakkan oleh Nabi s.a.w. agar kita memberitahu pada saudara kita kerana kasih sayang itu milik Allah, dan mudah-mudahan apabila kasih sayang dalam persaudaraan itu bertaut kerana Allah, mudah-mudahan akan mendatangkan keberkatan kepada kita.

Di atas telah saya gariskan beberapa panduan hadith Rasulullah s.a.w. berkenaan persaudaraan. Semoga sama-sama kita meraih kasih sayang dan rahmat Allah SWT. Tidak ada ruginya jika kita menjalinkan silaturrahim sesama kita, setiap orang yang beragama Islam itu adalah bersaudara. Sebelum saya mengundur diri, saya bekalkan sepotong lagi hadith agar menjadi renungan kita bersama. Mudah-mudahan kita sama-sama dapat menjalinkan silaturrahim dan menguatkan lagi ukhwah sesama muslim.

Daripada Anas bin Malik r.a., Nabi s.a.w. bersabda : "Sesiapa yang inginkan rezekinya diluaskan dan dipanjangkan usianya, maka jalinkanlah silaturrahim."

Hadith Riwayat Al-Bukhari dan Muslim

Sesungguhnya yang baik datang dari Allah dan yang buruk adalah khilaf diri saya sendiri.

Assalamualaikum w.b.t.

No comments:

Post a Comment